Friday 17 May 2013

Tiga suspek pecah rumah ditahan polis.




TAWAU: Pihak polis menahan tiga suspek dan merampas beberapa peralatan pecah rumah ketika kesemua lelaki terbabit sedang leka ‘menggeledah’ rumah mangsa mereka di Taman Villa Hartamas, Sin On di sini kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, ketiga-tiga suspek dikenalpasti sebagai warga tempatan berusia di lingkungan 23 hingga 32 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kaitan ketiga-tiga suspek terhadap beberapa kes jenayah serupa yang berlaku di sekitar daerah ini,” katanya sambil mengesahkan tuan rumah berada di luar negara semasa kejadian itu.

Awang berkata, pihak polis tiba di rumah terbabit lima minit selepas menerima aduan awam dan berjaya menangkap ketiga-tiga suspek semasa berada di rumah mangsa serta merampas alat pemotong besi, pengumpil besi, lampu suluh dan pemutar skru.

Menyentuh mengenai kejayaan terbaru pihak polis itu, beliau memuji tindakan pengadu iaitu jiran mangsa kerana bertindak pantas melaporkan kejadian pecah rumah terbabit kepada pihak polis sekaligus turut menyelamatkan jirannya daripada menanggung kerugian besar.

“Mengikut keterangan pengadu (lelaki berusia 30-an), beliau berasa pelik kerana terdengar bunyi bising di rumah jirannya sedangkan jirannya masih berada di luar negara dan tidak ada orang yang menghuni rumah terbabit.

“Terkejut dengan bunyi bising itu, pengadu terus menghubungi pihak polis dan mujurlah kita sempat sampai dan menangkap suspek-suspek yang terlibat,” katanya sambil mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pengadu.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa memerlukan kerjasama daripada orang ramai dalam usaha membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa di daerah ini dan tindakan pengadu disifatkan wajar dicontohi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes pecah rumah terbaru itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Read more: http://www.theborneopost.com/2013/05/17/tiga-suspek-pecah-rumah-ditahan-polis/#ixzz2Tch0xthq

No comments:

Post a Comment